28 October 2009

Tragedi Kuala Dipang-Murid hanyut depan mata


KAMPAR: “Saya lihat mangsa perlahan-lahan melepaskan tangan dari pautan kabel itu kerana kehabisan tenaga sebelum hanyut dibawa arus kuat. Saya tak dapat tolong mereka, itu yang saya sedih,” kata pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, Mohd Rosli Mohamad, 49.

Katanya, ketika itu, dia kehabisan tenaga selepas menyusur kabel menyelamatkan beberapa murid lain.

“Walaupun penat, saya tetap turun dan cuba menyelamatkan tiga lagi murid yang berpaut pada kabel itu. Namun, ajal lebih kuat menjemput mereka,” katanya.

Mohd Rosli dan rakan sejawatnya, Ismail Ahmad, 63, antara saksi terawal kejadian jambatan runtuh di kem aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan, berhampiran tempat mereka bertugas yang menyebabkan seorang murid lemas manakala dua lagi hilang, malam kelmarin.

Menurutnya, dia dan Ismail bersedia menghadapi kemungkinan berlaku kejadian tidak diingini apabila air sungai naik sejak jam 7 malam berikutan hujan lebat di hulu.


Mereka menyelamatkan sembilan murid termasuk seorang guru lelaki dengan menyusuri arus sungai menggunakan kabel jambatan berkenaan sebelum membawa mangsa ke tebing.

Sebelum kejadian, Mohd Rosli berkata, dia mendengar pekikan murid meminta tolong dari arah sungai kira-kira 200 meter dari pos kawalan tempatnya bertugas lalu segera meminta bantuan Ismail yang ketika itu di surau.

Katanya, sebaik tiba, dia dan Ismail melihat kira-kira 20 murid sedang bergayut pada kabel jambatan itu dengan sebahagian mereka berada dalam sungai.

“Tanpa berfikir panjang, kami terus terjun sungai dan berpaut pada kabel sebelum menyelamatkan guru lelaki itu terlebih dulu kerana kakinya tersepit pada kabel.

“Ketika itu air sungai sedang naik dan arus semakin laju. Kerana mahu menyelamatkan mereka, saya gadaikan nyawa dengan berpaut pada kabel sebelum menarik mereka seorang demi seorang,” katanya.

Katanya, walaupun berjaya menyelamatkan sembilan daripada mereka, dia dan Ismail terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan tiga murid lain yang masih berpaut di tengah jambatan runtuh itu.

Mohd Rosli berkata, dia dan Ismail mengambil masa kira-kira dua jam menyelamatkan semua mangsa.

Dia yang juga anak jati Kuala Dipang berkata, sepanjang tiga tahun bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah itu, ia kejadian lemas pertama berlaku di sungai itu.

Sementara itu, Ismail berkata, dia menangis sebaik melihat tiga mangsa lemas itu melepaskan pautan tangan masing-masing pada kabel jambatan sebelum hanyut dibawa arus.

“Kami mencuba sedaya upaya menyelamatkan semua mangsa, namun keadaan sukar kerana air sungai semakin lama semakin tinggi,” katanya.

Ismail berkata, dalam keadaan panik itu, dia sentiasa mengingatkan semua murid yang sedang berpaut di kabel itu tidak melepaskan pautan masing-masing.

Petikan : myMetro 28 Oktober 2009

No comments:

Post a Comment